Tempatan

Guru Temui Ajal Ketika Buat Persediaan Masuk Sekolah, Anak Tak Sangka Ayah Ada Tunjuk Petanda Akhir.

“ABAH selalu tidur awal, namun sejak seminggu lalu, dia sanggup meluangkan masa dengan anak sehingga kami semua masuk tidur pada 12 tengah malam.

“Memang agak pelik dan tidak menyangka itu petanda abah akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,” luah Muhammad Zulhakim Rosle.
ALLAHYARHAM Rosle Abdul Aziz. FOTO ihsan pembaca

Muhammad Zulhakim, 21, adalah anak kepada guru, Rosle Abdul Aziz, 54, yang maut akibat terjatuh dari tingkat satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah, Tanah Merah, 12.30 tengah hari, hari ini.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kira-kira setengah jam sebelum kejadian, mangsa menghubunginya meminta dokumen persekolahan adiknya dan dia sempat ke sekolah berkenaan pada 12 tengah hari.

“Saya sampai ke sekolah dan hanya adik keluar bertemu abah untuk menyerahkan dokumen. Kami tidak sangka tidak lama kemudian, mama menghubungi saya memaklumkan kejadian menimpa abah.

“Abah sebelum ini ada menceritakan setiap kelas di sekolahnya memasang sinki sebelum pembukaan sekolah esok dan abah memang minat bertukang.

“Walaupun kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini, namun kami reda dengan ketentuan Allah,” katanya ketika ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tanah Merah (HTM), hari ini.

Muhammad Zulhakim turut menyifatkan kehilangan bapanya sangat dirasai mereka sekeluarga kerana arwah sangat bertanggungjawab dan mementingkan keluarga dalam setiap urusan.

“Abah kami memang terbaik. Abah bagi komitmen penuh kepada kami dengan memberi pendidikan seimbang sama ada sekolah dan pendidikan agama.

“Setiap hari abah hanya menghabiskan masa dengan keluarga, abah tidak suka lepak di kedai kopi seperti orang lain.

“Saya perlu kuat demi adik dan berdoa kami semua dapat menempuhi ujian ini dengan baik,” katanya yang menuntut di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Katanya, jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pisang Gala.

Terdahulu, dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa yang juga guru Matematik tergelincir dari balkoni belakang tingkat satu di SK Batu Gajah, ketika melakukan persiapan akhir sempena pembukaan sekolah itu.

Mangsa yang terjatuh pada ketinggian tiga meter parah di kepala akibat terkena longkang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

sumber : hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *