Tempatan

“Ini satu kemenangan untuk rakyat..”- Kata-kata Asri Janggut Setelah Tiba Di Bukit Aman

PENIAGA burger kontroversi, Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut tiba di Bukit Aman, Kuala Lumpur, untuk memberi keterangan, pagi ini.

Asri berkata, beliau kini masih menanti kehadiran peguamnya sebelum memberi keterangan kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Insya-Allah saya akan beri keterangan pagi ini. Masih menunggu seorang lagi peguam tiba sebelum memberi keterangan,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Mohd Asri (kiri) ketika hadir di Bukit Aman, hari ini.

Pengasas Hot Burger itu dipanggil memberi keterangan dipercayai susulan dakwaannya bahawa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak menjaga solat.

“Ini adalah satu kemenangan untuk rakyat. InsyaAllah, Allah sedang menurunkan sesuatu yang baik untuk kita. Tunggu hikmahnya,” katanya ketika ditemui selepas memberi keterangan di Bukit Aman, hari ini.

Sementara itu, peguamnya, Ahmad Amzar Ahmad Azlan berkata, pembongkaran tempoh hari menyebabkan tangkapan terhadap penguat kuasa dibuat.

Katanya, ini bermakna apa yang dilakukan anak guamnya bukan sesuatu yang sia-sia kerana tanpa pembongkaran ini tidak pasti bila tindakan akan diambil.

“Ini baru di Sungai Buloh (penutupan premis judi susulan pembongkaran), belum lagi di tempat lain di Selangor dan negeri lain.Kita gesa lebih ramai lagi pemberi maklumat seperti Asri untuk tampil jika wujud salah guna kuasa, rasuah dan salah laku lain,” katanya.

Ahmad Amzar berkata, kesilapan dalam kenyataan membabitkan solat oleh anak guamnya adalah isu berbeza namun jika dilohat dalam gambaran yang lebih besar pendedahan ini membuktikan wujud salah laku dan guna kuasa dalam kalangan penguat kuasa.

Sebelum ini, Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilapor berkata, Asri disiasat mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Asri sebelum ini membuat pendedahan mengenai kegiatan premis perjudian yang didakwa dilindungi penguat kuasa.

Bagaimanapun, dia sekali lagi mencetuskan kontroversi selepas mendakwa anggota tentera dan polis tidak menjaga solat dalam satu temu bual secara langsung di Facebook beberapa hari lalu.


sumber : hmetro