Tempatan

“Tudung Ratus Ribu Kalis Api Neraka?”- Pemilik Bawal Exclusive Jawab Cercaan Netizen.

Sudah menjadi adat setiap kali muncul tudung mahal, pasti akan ada komen-komen dan kritikan negatif netizen terhadap pemiliknya.

Tambah pula apabila ada tudung yang dibeli atau dihasilkan itu mencecah harga puluhan ribu malah kini ratusan ribu ringgit!

Mengulas mengenai senario ‘busuk hati’ netizen terhadap tudung mahal, kata pemilik Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, cercaan sedemikian sudah menjadi makanannya sejak mula bertapak 22 tahun lalu.

Tudung kalis api neraka

“Sejujurnya komen negatif netizen dah jadi makanan saya.

“Untuk pengetahuan semua, tudung-tudung tersebut ditempah khas oleh pembeli, bukan kita pamer dan iklankan siapa nak beli. Bukan!

“Kalau kasut kita letak atas lantai bernilai puluhan ribu, kenapa tidak tudung? Jadi pembeli-pembeli ini lebih daripada mampu.

“Jadi, saya akan buat selagi tidak menipu. Saya akan teruskan apa saya rasa betul. Apa kata netizen dah jadi makanan saya,” katanya kepada Gempak.

Tudung mahal nak ‘show off’

Tambah Haliza, penghasilan tudung dengan batuan kristal mahal jenis Swarovski menjadikan nilai item itu mencecah harga tinggi.

Biarpun situasi harga tudung mahal menjadi kecaman netizen, Haliza menegaskan ia bukan strategi atau modul untuk menunjuk-nunjuk.

“Saya cuba nak menunjuk kepada jenama (yang bukan Islam) di luar sana bahawa Islam itu kaya, berdaya saing dan mampu meneraju perniagaan.

“Contohnya Bawal Exclusive sekarang menjadi pemborong terbesar kristal Swarovski di dunia. Tidakkah bangga sebagai orang Malaysia dan Islam.

“Swarovski itu diletakkan pada tudung, untuk menutup aurat. Jadi saya rasa komen negatif itu saya tak ambil peduli pun,” ujarnya.

 

Lebih baik bersedekah

Haliza juga memperbetulkan persepsi masyarakat yang melabekan pembeli tudung-tudung mahal adalah satu pembaziran dan lebih molek seandainya wang itu digunakan untuk tujuan kebajikan seperti menderma.

“Kalau nak tahu saya kenal pembeli, mereka sangat dermawan. Sebelum mereka menempah tudung berpuluh ribu, mereka ini bersedekah dahulu.

“Ada dalam kalangan mereka menempah tudung sampai berpuluh helai untuk disedekahkan kepada anak-anak yatim. Itu yang saya nampak, yang saya tak nampak pula?

“Jadi jangan cakap kalau kita tak tahu.

“Jika anda tak mampu menyokong, jadi doakan sebab saya berniaga untuk menaikkan nama Islam dan Malaysia. Bukan untuk diri saya sendiri,” tambahnya.

sumber : gempak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *