Tempatan

“Betul-betul tak sangka, beli rumah flat dua bilik akhirnya dapat kondominium”

Kuala Lumpur: Penduduk di Perumahan Awam Sri Labuan, di sini, menzahirkan rasa gembira menerima unit perumahan baharu Razakmas 2 atas inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengerusi Persatuan Penduduk Perumahan Awam Sri Labuan, Yusof Abd Rahman, 68, berkata, dia lega akhirnya perjuangan lebih lima tahun bagi isu perpindahan pemilik unit Flat Sri Labuan di Bandar Tun Razak, di sini, akhirnya bakal menemui titik noktah.

a group of people standing in front of a building: YUSOF (kiri) Rohani Hussin (tengah) dan penduduk Ishak, menunjukkan bangunan perumahan lama, Perumahan Awam Sri Labuan, dan di belakang adalah bangunan perumahan baharu yang akan didiami nanti di Razakmas 2. FOTO Mahzir Mat Isa

“Flat ini sudah berusia lebih 30 tahun sejak dibangunkan pada 1980-an dan pelbagai masalah perumahan diadukan penduduk.

“Antaranya paip tersumbat, bocor, tembok retak dan pelbagai masalah lain. Disebabkan itu, saya amat gembira dengan inisiatif DBKL dengan kerjasama pemaju ini dalam membela nasib penduduk di sini,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Flat Sri Labuan, Bandar Tun Razak, di sini, semalam.

Menurutnya, setakat ini semua 395 pemilik unit perumahan Flat Sri Labuan sudah membuat undian unit perumahan baharu di Razakmas 2 iaitu lokasi bersebelahan flat itu.

“Mungkin kami akan mendapat kunci rumah dalam Mac depan. Walaupun begitu, pelbagai perkara perlu dilihat semula antaranya faktor keselamatan seperti pemasangan jeriji terlebih dahulu sebelum mendudukinya.

“Saya dalam usaha mengumpulkan kontraktor bagi pemasangan kabinet dapur dan lampu yang jauh lebih murah supaya dapat meringankan beban pemilik rumah yang bakal berpindah,” katanya.

Yusof berkata, kini pihaknya dalam proses rundingan bersama Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) DBKL dalam memberi keutamaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang tercicir dan warga emas supaya mendapat unit perumahan baharu Razakmas 2 di tingkat bawah.

Beliau berkata, penduduk bakal menerima unit rumah baharu ini turut membabitkan 11 orang berusia antara 77 tahun hingga 94 tahun dan mereka berharap dapat keutamaan memilih tingkat bawah.

“Harapan itu turut dipanjangkan kepada pemilik yang mempunyai keluarga berpenyakit kronik bagi memudahkan urusan berulang-alik ke hospital,” katanya.

Sementara itu, AJK Persatuan Penduduk Perumahan Awam Sri Labuan merangkap Ketua Wanita Sri Labuan, Rohani Hussin, 61, berkata, dia teruja bakal menerima perumahan baharu.

“Betul-betul tidak sangka, saya beli rumah flat dua bilik dan satu bilik air dengan DBKL, tetapi akhirnya dapat kondominium dengan kemudahan tiga bilik dan dua bilik air.

“Sebagai ibu tunggal yang mempunyai enam anak, syukur dengan rezeki mendapat rumah sekali ganda besar daripada asal bagi kami sekeluarga,” katanya.

Dalam pada itu, OKU fizikal yang juga bekerja sebagai mekanik, Ishak Jasman, 64, turut menzahirkan rasa syukur mendapat kediaman selesa.

“Semasa tarikh undian, saya tersilap dan tidak beratur mengikut lorong untuk cabutan tingkat bawah bagi pemilik unit rumah golongan OKU.

“Saya mendapat undian unit rumah tingkat 26 dan berharap permohonan menukar unit rumah diluluskan DBKL kerana isteri mempunyai penyakit tiga serangkai,” katanya.

Terdahulu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, KWP membelanjakan lebih RM50 juta bagi menyelesaikan isu kediaman baharu untuk 300 pemilik unit Flat Sri Labuan.

Menerusi inisiatif itu, pemilik unit Flat Sri Labuan yang membeli kediaman pada hargaRM21,000 hingga RM28,000 seunit bakal memperoleh kediaman baharu dengan nilai jualan sekitar RM300,000 secara percuma di Razakmas 2.

Beliau berkata, bagi penyewa perumahan awam DBKL lain yang berminat membeli rumah di Razakmas 2 akan mendapat peluang memilikinya pada harga RM198,000 iaitu kira-kira 34 peratus lebih rendah daripada harga asal.

Katanya, tapak asal Flat Sri Labuan akan dibina perumahan baharu yang dibangunkan DBKL untuk menyediakan rumah mampu milik buat rakyat.

sumber: hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *