Kisah Masyarakat

Bayi di saman tak pakai ‘mask’, ini pesanan menteri buat pengurusan kondo.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob meminta pihak pengurusan sebuah kondominium menarik balik kompaun yang dikeluarkan terhadap seorang bayi berusia setahun kerana tidak memakai pelitup muka di dalam lif.

Kejadian itu didakwa berlaku di Ampang baru-baru ini apabila pihak pengurusan kondominium berkenaan mengeluarkan saman sebanyak RM100 terhadap bayi berkenaan.

Turut tular di media sosial adalah surat saman yang dikeluarkan pihak pengurusan kondominium terbabit yang menyatakan bayi tersebut melanggar peraturan kondominium.

Ismail berkata, kompaun terhadap bayi berkenaan bukan sahaja tidak munasabah, malah pihak pengurusan kondominium itu sendiri tidak berhak mengeluarkan denda seumpama itu kepada penghuninya.

Dia menegaskan tindakan mengeluarkan kompaun seumpama itu adalah di bawah kuasa Kementerian Kesihatan melalui Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Selain kementerian itu, katanya, hanya pihak polis diberikan kuasa  mengeluarkan kompaun.

“Setakat hari ni, kita tak beri kuasa kepada pengurusan kondo dan apartmen atau pejabat untuk ambil tindakan. Dari segi kuasa, ia tidak ada.

“Jadi apa yang dilakukan pengurusan Kondo Ampang itu adalah salah dan tak boleh dilakukan. Jadi saya harap mereka tarik balik kompaun tersebut.

“Kompaun budak umur 1 tahun pula tu, tindakan tak munasabah,” katanya dalam taklimat sidang media hari ini.

Dalam isu berasingan, Ismail menjawab kes membabitkan seorang anggota polis yang mengeluarkan saman terhadap seorang pemandu kereta kerana membawa penumpang yang bukan dari rumah yang sama.

“Tak pernah disebut hanya dari rumah yang sama. Jadi bermakna, kalau tak disebut dari rumah yang sama, tak timbul isu penumpang-penumpang dari alamat yang sama.

“Rumah berbeza pun boleh asalkan ia mengikut kapasiti tempat duduk,” katanya.

 

sumber : mk

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *