“Ye ke ..tak tekan loceng pun “- Respon Sinis Sajat Setelah Di Tuduh Sembunyi Dari Jais.

Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sudah menjalankan pemeriksaan di rumah usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, malam tadi.

Pemeriksaan dilakukan jam 9 malam di banglo mewah milik usahawan itu di Kota Damansara, Petaling Jaya.

Menurut sumber, bagaimanapun Sajat tiada di rumahnya dipercayai bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu.

“Anggota penguat kuasa menjalankan risikan sejak beberapa hari lalu sebelum melakukan serbuan. Hasil pemeriksaan di setiap ruang di rumah berkenaan gagal menemuinya.

“Ketika serbuan dilakukan, hanya ahli keluarga dan pembantu rumah berada di rumah berkenaan. Mereka mendakwa Sajat tidak pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu,” katanya.

Sumber itu berkata, Sajat dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di tempat lain bagi mengelak dikesan Jais.

“Anggota penguatkuasa kini berusaha menjejaki Sajat dan tidak menolak kemungkinan dia masih berada di kawasan Lembah Klang,” katanya.

Katanya, susulan serbuan itu Jais sudah membuat membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan menerima laporan mengenai serbuan itu.

Menjengah ke ruangan komen ‘posting’ Sajat, salah seorang pengikutnya bertanya mengenai tempat dia bersembunyi, namun dia hanya membalas secara berseloroh.

“Ya ke? Tak tekan loceng rumah pun. Kuat ‘propa’,” balas Sajat.

Sebelum ini, tular di laman sosial mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan JAIS mengerahkan seramai 122 anggota untuk menangkap Sajat.

Bagaimanapun, memetik laporan Sinar Harian pada hari ini, Pengarah JAIS berkenaan iaitu Datuk Mohd Shahzihan Ahmad memberi penjelasan bahawa bukan seramai 122 orang yang serbu dan tangkap Sajat dalam satu masa.

Sebaliknya, hanya sekitar empat orang penguat kuasa JAIS diperlukan untuk menahan usahawan kosmetik itu dalam satu-satu masa.

“Jumlah penguat kuasa seramai 122 orang itu merupakan jumlah signifikan untuk mereka yang mempunyai kuasa menahan Sajat. 
“Bagaimanapun, hanya empat orang penguat kuasa JAIS diperlukan untuk menahan Nur Sajat jika beliau berada di dalam premis seperti rumah, hotel dan sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, anggota penguat kuasa JAIS akan ditempatkan di lokasi biasa Nur Sajat sering berada dan boleh menahan Sajat tanpa menunjukkan waran tangkap daripada Mahkamah Tinggi Syariah Selangor.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Selangor mengeluarkan waran tangkap terhadap Nur Sajat kerana gagal hadir pada prosiding kes berpakaian wanita dalam kejadian tiga tahun lalu.

Sumber: Sinar Harian (Engku Shariful Azni), Instagram Sajat

Jais perlu tegas..

Kuala Lumpur: “Sajat dilihat seolah-olah mempermainkan penguatkuasaan undang-undang syariah di negara ini.

“Pihak berkuasa agama perlu tegas dalam melaksanakan undang-undang diperuntukkan tanpa ada diskriminasi,” kata bekas mak nyah, Jefferi Mohd Nor.

Jefferi, 56, berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat dipercayai bersembunyi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang sedang mengesannya.

Selepas gagal dikesan, Sajat memuat naik hantaran berbaur sindiran di Instagram miliknya semalam, dipercayai ditujukan kepada pihak berkuasa itu.

Jefferi berkata, tindakan ahli perniagaan kontroversi itu adalah untuk menguji pihak berkuasa agama, sekali gus menampakkan kelemahan pihak berkenaan.

Menurutnya, apa pandangan masyarakat apabila golongan transgender kini sudah semakin berani dan tidak menghormati pihak berkuasa agama.

“Tindakan dia melarikan diri dan selepas itu memuat naik hantaran di media sosial sebenarnya memberi peluang populariti kepada dirinya di sebalik kelemahan pihak lain.

“Nanti apabila ditangkap, dia cuba meraih simpati masyarakat pula. Dalam hal ini, Jais perlu tegas dan tidak perlu takut untuk melaksanakan tindakan seterusnya,” katanya.

Jefferi yang juga ahli perniagaan kosmetik berkata, Jais perlu memainkan peranan sebaik mungkin supaya tidak dipersendakan oleh masyarakat.

Pada Selasa lalu, Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.

Menurut sumber, waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Syarie Mohammad Khalid Shaee@Shaii.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*