Sebelum Ke Korea, Allahyarham Muhammad Khairul Anas Sudah Bawa Kain Kafan Sendiri.

Kota Kinabalu: “Arwah abang saya membawa kain kafan sendiri dari Tawau sebelum dia bertolak ke Korea dan kain itulah yang digunakan untuk menguruskan jenazahnya.”

Demikian kata Mohd Nasrin Abd Gapal, 28, adik kepada Muhammad Khairul Anas yang meninggal dunia di Korea Selatan pada 26 Februari lalu.

Disebabkan kos penghantaran pulang jenazah terlalu mahal, seramai 12 peniaga bundle membuat jualan amal menerusi Facebook dan berjaya mengumpul dana sebanyak RM76,430 selain sumbangan orang ramai.

Mohd Nasrin berkata, dia sekeluarga dimaklumkan oleh rakyat Sabah yang menetap di Korea Selatan, Idarmi Abd Kadil, 40, bahawa mereka menjumpai kain kafan itu di dalam bagasi kepunyaan arwah.

JENAZAH Muhammad Khairul Anas Abd Gapal disolatkan di pekarangan MASKargo, KKIA sebelum dihantar melalui jalan darat untuk dikebumikan di Kampung Titingan, Tawau. FOTO Malai Rosmah Tuah

“Kain itulah digunakan untuk mengkafankan jenazah arwah,” katanya ketika ditemui di MASKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.

Katanya, Muhammad Khairul Anas ke Korea Selatan pada 2019 untuk bekerja.

“Kami berusaha menghubunginya tetapi tidak dapat. Apa yang kami tahu ialah arwah ke Korea bagi mencari modal membuat bengkel.

“Arwah sangat rapat dengan kami namun sejak kecil, dia suka menyendiri, berdikari dan tidak suka menyusahkan keluarga. Kalau sakit pun, dia tidak akan beritahu,” katanya.

Idarmi ketika dihubungi berkata, dia difahamkan kain kafan itu adalah sebahagian daripada ajaran guru agama arwah di Tawau sebagai peringatan ajal datang bila-bila masa saja.

“Saya dan seorang rakan menjumpai kain kafan itu di dalam bagasi selepas dihubungi mengenai perkara itu oleh ahli keluarga arwah yang belajar agama bersama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Hawi Alkhairat (HAK) Sabah, Syed Husin Habib Omar berkata, pihaknya menguruskan penghantaran jenazah ke Kampung Titingan dengan kerjasama Persatuan Cinta Amal Sabah dan Pertubuhan Kebajikan Nurul Musthofa Sabah.

“Insya-Allah kemungkinan jenazah sampai jam 7 atau 8 malam di Tawau. Saya difahamkan jenazah dikebumikan pada malam ini,” katanya.

 

sumber : hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*