” Itu la kali pertama makan steak mahal, kami kongsi bayar..”- Isteri Abang Burger Minta Henti Kecaman.

 

KOTA BHARU – “Cukup-cukuplah tu.” Itu permintaan peniaga burger tular kerana dikompaun RM50,000 kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih belum berhenti menyelongkar hidupnya.

Pasangan suami isteri itu, Wan Mohd Faisal Wan Kadir, 38, dan Norlaili Shafii, 37, dikompaun pada Ahad lalu, namun netizen di media sosial masih menyerangnya dengan pelbagai tuduhan hingga boleh menimbulkan fitnah.

Norlaili berkata, dia sudah 16 tahun berniaga dan kesemua harta seperti rumah di Kampung Rambutan Rendang dan kereta jenis Honda Civic yang digembar-gemburkan itu hasil titik peluh mereka sebelum serangan pandemik lagi.

“Tak termampu saya nak jelaskan satu persatu, malu pun ada, sebak pun ada. Rumah ini hutang dengan adik-beradik dan mertua lebih RM16,000 belum terbayar, mujur adik memahami.

“Saya jual barang kemas untuk bina rumah ini, 306 meter persegi, tiga bilik saja pun. Mungkin binaan dari luar kelihatan seperti banglo mewah.

“Kereta beli tahun 2018, bukan hak saya, hak bank, masih hutang. ALLAH Maha Besar, saya sudah tidak mampu jelaskan satu persatu, cukup-cukuplah tu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Berhubung gambar tular memaparkan suaminya dengan resit makan steak lebih RM900, katanya, ia berlaku pada Disember tahun lalu.


Gambar Wan Mohd Faisal makan steak di sebuah restoran juga ditularkan oleh netizen.

“Adik saya mengandung, mengidam. Kami makan sekeluarga lebih 10 orang. Kongsi bayar bil. Itulah kali pertama saya makan steak mahal di sebuah restoran bersebelahan Kota Darul Naim.

“Sebelum Covid-19, saya berniaga bermula jam 6 petang sehingga 4 pagi. Pendapatan kami terjejas sejak setahun lalu kerana pandemik. Berhentilah siasat sebab boleh jadi fitnah,” katanya.

Sementara itu, Norlaili turut menafikan dakwaan terhadap komen seorang netizen yang mengatakan gerainya mempunyai karaoke.

“Saya tidak mengenali dia, bukan orang kampung saya dan tidak pasti komen itu ditujukan kepada peniaga mana kerana gerai saya tidak ada karaoke,” katanya.

Mereka antara tiga peniaga dikompaun RM50,000 termasuk seorang pemilik kedai runcit dan seorang lagi peniaga colek pada Ahad kerana dipercayai melanggar SOP akibat berniaga lebih masa.

Kesemua peniaga membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan masih menunggu jawapan daripada pihak berkenaan.

sumber : sinarharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*