Viral

” Menjatuhkan maruah dirinya dan PDRM” – Individu Viralkan Gambar Anggota Polis Tak Pakai Mask, Ini Cerita Sebenar

 

KUALA LUMPUR: Satu laporan polis diterima, semalam, susulan tular gambar menunjukkan seorang anggota trafik tidak memakai pelitup muka yang dimuat naik bersama kapsyen menjelikkan dalam ciapan oleh seorang pengguna Twitter.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata laporan polis itu dibuat sendiri oleh anggota trafik terbabit di Balai Polis Dang Wangi pada jam 9.49 malam tadi.

“Kita mengesan penularan gambar seorang anggota trafik Kuala Lumpur dikatakan sedang bertugas di tempat awam tanpa memakai pelitup muka di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

“Hasil siasatan mendapati anggota terbabit sedang bertugas mengawal lalu lintas di sekitar Jalan TAR dan Lorong Tuanku Abd Rahman 7, iaitu kawasan pasar malam, mulai jam 1 tengah hari hingga 10 malam kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Gambar yang tular di media sosial.

Zulkifli berkata, gambar itu dipercayai dirakam kira-kira jam 8 malam ketika anggota terbabit baru lepas berbuka puasa bersama lima rakan sekerja lain di sebuah khemah di persimpangan Jalan TAR/Jalan Esfahan berhampiran pusat beli-belah SOGO.

“Selepas berbuka puasa, anggota itu menuju ke motosikal untuk meneruskan tugasannya. Gambar itu dipercayai dirakam sebelum anggota terbabit memakai semula pelitup muka dan helmet untuk meneruskan rondaannya.

“Satu laporan polis telah dibuat oleh anggota trafik terbabit kerana jelas gambar dimuat naik dalam media sosial itu bertujuan menjatuhkan maruah dirinya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang ada sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee melalui talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular dalam media sosial ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter dengan gambar menunjukkan seorang anggota trafik berdiri di sebelah motosikal tanpa memakai pelitup muka.

Gambar itu disertai kapsyen menggunakan bahasa jelik yang dilihat seolah-olah mahu menggambarkan anggota trafik terbabit sengaja tidak memakai pelitup muka dalam khalayak ramai.

komen netizen

sumber : bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *