Viral

Kebenaran Rentas Negeri Di Tambah Kepada 2 Situasi Lagi.

KUALA LUMPUR: Kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada umum, masih kekal kepada tiga situasi utama iaitu kecemasan membabitkan ahli keluarga terdekat, kematian dan pasangan jarak jauh (PJJ).

Selain itu dua lagi pergerakan rentas negeri yang dibenarkan adalah urusan untuk sektor perkhidmatan penting yang memerlukan kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan urusan pendidikan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata untuk pergerakan kecemasan dan kematian, kebenaran hanya tertakluk kepada ahli keluarga terdekat sahaja.

“Untuk pergerakan ini kita hanya membenarkan sekiranya ada perkara berkaitan kecemasan membabitkan ibu dan bapa, anak, adik-beradik kandung dan datuk atau nenek.

“Justeru selain daripada semua urusan penting yang dinyatakan maka pergerakan lain seperti aktiviti sosial adalah tidak dibenarkan,” katanya kepada BH di Bukit Aman, semalam.

Acryl Sani berkata, beliau turut mengarahkan semua Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis supaya lebih berhemah dan menyantuni masyarakat ketika mereka hadir di balai untuk membuat permohonan rentas negeri.

“Namun pegawai dan anggota ini perlu tegas dalam memberikan kebenaran rentas negeri selaras dengan arahan semasa dari pucuk pimpinan PDRM.

“Kita juga faham ada segelintir pegawai dan anggota yang dilihat kurang mesra semasa orang awam cuba mendapatkan kebenaran rentas negeri di Balai Polis dan perkara ini sedang diberi penambahbaikan,” katanya.

Katanya, apa yang dilakukan sebenarnya adalah untuk mengekang sebarang cubaan yang boleh menularkan pandemik COVID-19 dari satu ke satu lokasi lain, demi keselamatan dan keamanan orang ramai.

sumber : bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *