Polis Akan Gali Lubang Selepas Ada Yang Sanggup Pecahkan Kon Konkrit Di Laluan Tikus Untuk Elak Roadblock.

PETALING JAYA: Polis di Kelantan bertindak menggali lubang di lima lorong tikus sekitar Kampung Tanah Puteh, dekat Gua Musang, bagi menghalang kenderaan melaluinya untuk merentas negeri memasuki Kelantan.

Sebelum ini, kon konkrit yang diletakkan bagi menghalang laluan dipecahkan samseng jalanan yang ingin merentas negeri melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Lorong tikus itu sering dijadikan laluan orang ramai menaiki kenderaan bagi mengelak sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tanah Puteh, kata Ketua Polis Daerah Gua Musang Sik Choon Foo.

Polis letak halangan konkrit di laluan tikus

“Kami mengambil tindakan untuk menutup sepenuhnya lorong tikus bagi pengguna jalan raya yang cuba melepasi SJR,” Sik dipetik Harian Metro sebagai berkata.

Selain menggali lubang dan menutup laluan, polis juga melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan itu.

“Tindakan berterusan dan pemantauan akan dibuat daripada semasa ke semasa oleh anggota supaya tidak ada pihak tidak bertanggungjawab cuba untuk melepasi daerah atau rentas negeri,” katanya hari ini.

Sebelum itu, beliau melakukan pemantauan di lima lorong tikus di kampung itu yang menjadi tumpuan pengguna untuk melepasi pemeriksaan di SJR.

Aliran trafik memasuki Kelantan melalui SJR di KM7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Kampung Tanah Puteh didapati lancar, menurut Sik.

Katanya, kebanyakan pengguna jalan raya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa mulai esok yang melarang aktiviti merentas daerah dan negeri.

 

sumber : FMT

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*