Luar Negara Viral

David Beckham Ucap Selamat Hari Raya Dalam Bahasa Indonesia

Biarpun pada kali ini sambutan Aidilfitri dilakukan secara sederhana namun kemeriahannya tetap dirasai oleh umat Islam di seluruh dunia.

Kita sepatutnya bersyukur kerana masih berpeluang untuk meraikannya walaupun terpaksa akur dengan norma baharu yang menyebabkan ramai terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang.

Namun, selebriti dunia tetap ingin berkongsi kemeriahan Syawal dengan merakamkan ucapan Aidilfitri mereka di media sosial.

Dua hari lalu, bintang bola sepak terkenal, David Beckham sempat membuat ucapan istimewa itu kepada umat Islam di seluruh Indonesia menerusi satu rakaman video.

Video berdurasi 15 saat yang dimuat naik di YouTube itu turut menampilkan aksi Beckham menyampaikan ucapannya dalam bahasa Indonesia.

Walaupun kelihatan seperti agak sukar untuk menyebut beberapa perkataan namun bapa kepada empat anak ini tetap bersahaja.

Gelagatnya itu sekali gus menyebabkan video berkenaan menjadi viral khususnya di Indonesia apabila netizen ingin mendengar kebolehannya bercakap dalam bahasa tersebut.

“Hi semua, saya David. Kepada semua rakan di Indonesia, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya dengan selamat dan tenang bersama keluarga serta orang tersayang.

“Selamat menyambut Aidilfitri, mohon maaf, zahir dan batin,” kata bekas pemain Manchester United dan Real Madrid itu.

Difahamkan, bapa kepada Brooklyn, Romeo, Cruz dan Harper itu membuat ucapan tersebut kerana sebahagian daripada peranannya sebagai duta jenama insurans terkenal.

sumber : FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *