
Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berskala penuh di Selangor sekiranya penularan di negeri itu gagal dikawal, kata Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba.
Beliau berkata, KKM perlu mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat di negeri itu jika penularan tidak mampu dikekang.
“Saya setuju kita perlu cadangkan kepada kerajaan supaya lebih ketat SOP dan juga PKP sekiranya melihatkan kepada ketidakupayaan mengekang, maka cadangan untuk kita melaksanakan PKP penuh adalah satu perkara yang boleh dipertimbangkan,” katanya.
Dr Adham berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara maya hari ini.
Beliau mengulas mengenai situasi di Selangor yang terus mencatatkan kes harian tinggi.
Selangor mencatatkan kes harian sebanyak 1,507 kes pada 15 Mei, 1,275 kes pada 16 Mei dan hari ini 1,650 kes.
Aktiviti ekonomi dibenarkan terus beroperasi semasa pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara yang bermula 12 Mei sehingga 7 Jun
‘Ziarah Aidilfitri’ di pusat beli-belah cetus risiko jangkitan baharu
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menzahirkan kebimbangan berhubung risiko kewujudan jangkitan baharu COVID-19 susulan tindakan orang ramai ‘menyambut Aidilfitri’ bersama keluarga di beberapa pusat beli-belah ketika Hari Raya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sejumlah individu dikesan mengambil kesempatan melakukan ziarah Aidilfitri di pusat beli-belah selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melarang ziarah rumah ke rumah.
Beliau mengakui pihaknya tidak menjangka orang ramai sanggup berdepan risiko penularan jangkitan dengan melanggar peraturan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di pusat beli-belah.
“PKP diumumkan bermula 12 Mei hingga 7 Jun untuk menghalang jangkitan terus berlaku, dengan menyekat aktiviti rentas daerah dan negeri, aktiviti sosial, makanan di restoran, menggalakkan bekerja di rumah dan melarang ziarah di rumah (pada Aidilfitri).
“Namun, isu ketara yang kita kesan ialah apabila kita tak benarkan berhimpun di rumah, ramai ambil kesempatan untuk bertemu di pusat beli-belah yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP.
“Ini berisiko mencetuskan krisis jika jangkitan COVID-19 berlaku di pusat beli-belah dalam negara.
“Kita ada kebimbangan yang tinggi berlakunya pertambahan kes akibat pertemuan ahli keluarga pada Hari Raya antara 13 hingga 15 Mei lalu di pusat beli-belah,” katanya pada sidang media mingguan secara maya, hari ini.
Susulan kebimbangan itu, kata Dr Adham, KKM sedang bersiap siaga dengan meningkatkan keupayaan rawatan dan kapasiti ujian saringan, sekiranya pelanggaran peraturan ketika Aidilfitri itu mencetus jangkitan dan kluster baharu.
Katanya, beberapa lokasi yang dijadikan tempat pertemuan ketika Aidilfitri akan diketahui melalui senarai titik panas penularan COVID-19 dalam Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE), yang akan diumumkan hari ini atau esok.
“Kita sudah tahu beberapa lokasi tempat pertemuan mereka yang beraya di pusat beli-belah, yang akan dimaklum HIDE.
“Sekarang kita sudah perkukuh kerjasama dengan semua agensi bagi memastikan pengendalian dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan menggerakkan semua agensi diberi kuasa,” katanya.
sumber : hmetro / bhrian
Leave a Reply