Viral

Pakar Kesihatan Pula Beri Bayangan PKP Penuh Di Selangor

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh perlu dilaksanakan terhadap Selangor dan Kuala Lumpur, susulan kes COVID-19 semakin meningkat dan tidak menampakkan tanda penurunan dalam masa terdekat.

Pakar kesihatan awam dan virologi berpendapat, pelaksanaan PKP yang ketat adalah jalan keluar terbaik untuk memutuskan rantaian jangkitan dan mengelakkan PKP terpaksa dilaksanakan secara berulang-ulang.

Ahli Kumpulan Penasihat, Rangka Kerja Kesiapsiagaan Pandemik Influenza Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Geneva, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman, berkata PKP penuh seperti PKP pertama yang dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu perlu dilaksanakan di Lembah Klang, membabitkan sebahagian Selangor dan Seremban serta Kuala Lumpur.

Pakar kesihatan awam itu mencadangkan, PKP itu dilaksanakan selama sebulan dan disemak semula selepas itu, sebelum dilaksanakan selama sebulan lagi jika penurunan kes tidak berlaku seperti yang disasarkan

“Langkah ini adalah bagi memastikan sindrom PKP bersiri ini tidak berulang. Prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan perlu sama dengan PKP pertama iaitu semua sektor mesti ditutup.

“Selain itu, sempadan negara, negeri dan daerah juga perlu dikawal ketat bagi mengelakkan kegiatan merentas kawasan,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mencadangkan PKP penuh di Selangor jika usaha sedia ada masih gagal mengekang lonjakan kes COVID-19 di negeri itu, selain pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Hari ini, sebanyak 4,865 kes baharu COVID-19 dilaporkan, dengan Selangor kekal mencatatkan pertambahan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 1,743 kes.

Dr Lokman Hakim yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, menyarankan kerajaan mengkaji data peningkatan kes di Selangor termasuk sama ada ia disebabkan peningkatan aktiviti pengesanan kes.

“Jika aktiviti pengesanan kes meningkat, peningkatan kes patut dijangka. Kemudian, adakah kita berpuas hati dengan tahap pengesanan sekarang?

“Kadar positif ujian harian harus kurang daripada lima peratus (sebaik-baiknya tiga peratus). Jika kadar lebih lima peratus dan kita sudah di tahap sekarang bererti ia bahaya kerana banyak lagi kes di luar sana yang belum dikesan.

“Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji keupayaan kemudahan kesihatan, khususnya Pusat Kuarantin, wad COVID-19 dan unit rawatan rapi (ICU).

“Daripada situ, jika kerajaan mendapati beban jangkitan yang belum dikesan masih tinggi dan banyak lagi yang tidak terkesan serta keupayaan kesihatan sudah tepu, maka PKP yang ketat amat wajar dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Dr Lokman Hakim menegaskan, kerajaan juga mesti mengambil beberapa langkah lain dengar segera termasuk menyediakan pasukan bantuan makanan kepada mereka yang terkesan jika PKP penuh dilaksanakan, bagi meyakinkan rakyat mereka tidak akan terputus keperluan asas.

Selain itu, menambah keupayaan anggota barisan hadapan Kawalan Penyakit Program Kesihatan Awam sekurang-kurangnya tiga kali ganda keupayaan ketika ini terutama di Lembah Klang dan bandar utama lain sama ada melalui pewujudan jawatan tetap, kontrak, pinjaman dari agensi lain, mobilisasi anggota serta penggemblengan sukarelawan.

“Sehebat dan secanggih mana pun kepakaran dan hospital kita, jika barisan hadapan kesihatan awam lumpuh, seluruh sistem kesihatan negara akan lumpuh.

“Sudah terlalu banyak retorik mengatakan kita akan mengukuhkan kesihatan awam tapi hakikatnya tidak. Apa guna bilangan katil ICU bertambah tetapi pesakit terus juga bertambah tanpa kawalan? Harapkan rakyat patuh SOP semata-mata tidak adil jika kerajaan tiada usaha meningkatkan pengesanan kes,” katanya.

sumber : hmetro / bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *