Artis

Penduduk Degil Sanggup Solat Jemaah Dalam Gelap Dan Sorok Selipar Punca 78 Positif Covid-19.

Bachok: Aktiviti surau diteruskan di Kampung Pauh Lima dengan puluhan jemaah sanggup solat dalam gelap demi mengelak dikesan pihak berkuasa, dikatakan antara punca tercetusnya kluster di kawasan berkenaan yang sehingga semalam menyebabkan 78 positif Covid-19.

Malah, penduduk yang hadir ke surau berkenaan juga dikatakan sanggup menyorok selipar supaya kehadiran mereka secara beramai-ramai tidak dapat dikesan.

Walaupun arahan sudah dikeluarkan dengan surau tidak dibenarkan mengadakan solat fardu melainkan hanya empat jemaah saja yang dibenarkan, namun penduduk tidak mengendahkan arahan terbabit.

Penduduk kampung berusia 45 tahun yang enggan dikenali memaklumkan, aktiviti di surau tetap diteruskan seperti biasa termasuk sepanjang Ramadan.

“Mereka tetap mengerjakan solat lima waktu seperti biasa. Cuma untuk waktu siang, kehadiran tidak seramai sebagaimana di sebelah malam.

“Ketika solat sunat tarawih, kehadiran memang ramai sehingga mereka sanggup solat dalam keadaan bergelap dan menyembunyikan selipar.

“Memang rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan penduduk berkenaan kerana kesannya habis satu kampung yang terjejas disebabkan kedegilan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Penduduk berusia 50 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Yah, mengakui apa yang berlaku menimbulkan kemarahan kepada penduduk yang lain terutama mereka yang mengikut prosedur operasi standard (SOP).

“Saya mendapat maklumat memang ada jemaah yang batuk serta demam, namun masih pergi ke surau berkenaan untuk solat tarawih.

“Saya pun tidak faham kenapa penduduk terlalu degil untuk mengikut arahan yang dikeluarkan. Inilah dikatakan mengejar pahala di tempat yang salah.

“Bila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), semua penduduk yang terjejas, bukannya hanya golongan yang melanggar SOP,” katanya.

Kerajaan semalam mengumumkan PKPD akan dilaksanakan di dua lokaliti iaitu Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu, Kelantan mulai esok sehingga 1 Jun.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak membabitkan kedua-dua lokaliti berkenaan.

Katanya, dalam tempoh dua minggu, peratusan kes positif adalah 26.62 peratus di Kampung Pauh Lima, Bachok dan 55.22 peratus di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin, ketika dihubungi berkata, pihaknya masih menyiasat punca sebenar jangkitan sama ada berpunca daripada aktiviti surau atau sebaliknya.

 

78 kes positif Covid-19 di Kampung Pauh Lima

Kota Bharu: Sebanyak 78 kes positif Covid-19 yang direkodkan dalam tempoh 11 hari sehingga hari ini, di Kampung Pauh Lima, dekat Bachok.

Difahamkan kes itu berpunca daripada penduduk kampung yang mengadakan solat berjemaah dan tadarus di sebuah surau.

Kes itu kemudian menular dan menjangkiti penduduk di perkampungan berkenaan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin mengesahkan sebanyak 78 kes yang dicatatkan di kampung itu sejak 7 Mei lalu.

Katanya, kes itu dicatatkan hasil daripada saringan terhadap 238 individu.

“Terdapat dua kematian yang dicatatkan di lokasi itu dan kita masih menyiasat punca kes jangkitan. Saya menasihatkan orang ramai supaya patuh prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan Covid-19 daripada menular,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kepada penduduk kampung yang mempunyai gejala dan kontak rapat dengan pesakit Covid-19 boleh membuat ujian saringan di lokasi ditetapkan.

Katanya, gelombang Covid-19 ini berbeza daripada gelombang pertama di Kelantan kerana kes dalam komuniti semakin banyak dan sentiasa wujud kluster-kluster baharu.

“Kadar kebolehjangkitan juga tinggi di Kelantan dan wujudnya varian baru yang cepat merebak dan lebih agresif,” katanya.

Terdahulu, tular di Facebook dan WhatsApp bahawa Kampung Pauh Lima akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan kes Covid-19 yang tinggi di lokasi itu.

Orang ramai mendakwa ia juga berpunca daripada solat berjemaah dan tadarus di sebuah surau.

sumber : hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *