Viral

“Anak menantu dari Johor, balik raya hari tu..”- Warga Emas Sesak Nafas Pergi Hospital Lepas Anak Positif Covid-19.

WALAUPUN kerajaan melarang ziarah Aidilfitri dan rentas negeri, namun ada juga yang ‘terlepas’ balik kampung beraya bersama keluarga.

Impaknya cukup besar kerana bukan sahaja terdedah risiko jangkitan Covid-19, malah boleh meragut nyawa terutama dalam kalangan warga emas dan berpenyakit kronik.

Seorang doktor berkongsi kisah seorang pesakit lelaki berusia 70-an yang hadir ke hospital pada suatu petang dengan memakai gelang merah jambu.

 

“Pakcik pakai gelang pink sebab apa? Anak pakcik positif. Depa (mereka) tu dari mana? Dok (duduk) Kedah ke dari luar negeri?

Depa dari Johor, saja balik mai melawat raya hari tu. Tapi depa balik sana dah (Johor) dua tiga hari lepas,” doktor berkenaan menulis perbualannya dengan pakcik tersebut di laman Twitter syazwandva.

Perkongsian seorang doktor di laman Twitter.

Dr Syazwan kemudian bertanya lebih lanjut mengenai lelaki warga emas itu diberikan gelang merah jambu yang biasanya dipakai untuk mereka yang positif atau menjadi kontak rapat pesakit Covid-19.

“Anak telefon kata depa positif, jadi pakcik kena pergi klinik kesihatan, buat test, semalam baru ambil. Tapi awat (kenapa) pakcik mai (datang) hospital?

Pakcik rasa penat, susah nafas, anak pakcik yang kat rumah tolong telefon ambulans. Hmm baik pakcik, ni kita bagi oksigen kuat untuk pakcik ni,” ujarnya.

Doktor itu bertanya lagi mengenai keadaan anak dan menantu lelaki itu sewaktu melawat pesakit berkenaan sempena Aidilfitri.

Saringan dan pemeriksaan orang awam. foto Twitter syazwandva

“Masa anak menantu balik dari Johor, depa dok rumah pakcik ke? Depa ada batuk-batuk tak? Ha depa dok ngan pakcik, ada la depa batuk sikit-sikit.

“Okay pakcik, tarik nafas elok-elok. Rehat, selawat, doa banyak-banyak,” katanya sambil menambah darah pesakit itu diambil dan ujian X-ray menunjukkan keputusan tidak begitu baik.

Namun katanya, keadaan pesakit yang datang ke hospital pada pukul 5 petang bertambah buruk kira-kira pukul 9 malam, di mana doktor mencuba pelbagai usaha untuk menyelamatkannya.

“Hari ni kira-kira 5 pagi, pakcik dah tak ada. Innalillahiwainnailaihirajiun. Minta maaf pakcik, kami telah melakukan yang terbaik tetapi Allah lebih sayangkan pakcik,” katanya.

Seorang lelaki warga emas yang mengalami masalah pernafasan.

Sehubungan itu, Dr Syazwan menegaskan ada sebabnya larangan ziarah Aidilfitri dan rentas negeri ditetapkan iaitu demi membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Kepada anda semua, inilah sebab kenapa kita larang jenguk orang tua, masjid tutup dan lain-lain. Kebanyakan mereka adalah warga emas, dan gambar yang saya tunjuk kesemua mereka berusia 50 tahun ke atas.

“Ya, mereka semua seusia dengan mak ayah kita. Jagalah diri anda, ibu bapa anda, keluarga dan rakan-rakan.

“Terdapat kumpulan yang kata ‘takut buat apa Covid ni sama je macam selesema batuk biasa, ni semua propaganda, agenda yahudi.’ Dengar sini elok-elok, tak ada orang selesema batuk yang merosot (kesihatan) secepat macam ni.

“Ambillah vaksin, jangan percaya cerita di WhatsApp, Facebook hirup bunga cengkih, beli air penawar. Tolong jangan rendahkan IQ anda serendah orang yang dok sebar cerita palsu tu, depa nak mati biar depa seorang, hangpa jangan ikut,” katanya sambil menyeru rakyat Malaysia untuk sama-sama memerangi wabak Covid-19.

 

Seorang wanita yang berkongsi bebenang doktor itu meluahkan kekesalannya terhadap individu yang tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan orang lain menjadi korban Covid-19.

“Kluster raya Aidilfitri baru ni, dah mula makan korban. Takziah dan Selamat Hari Raya buat korang yang terlepas balik raya ke kampung. Macam mana pun tetap akan kantoi,” tulisnya menerusi satu status di Facebook.

sumber : mstar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *