COVID-19

Nampak Macam Kes Turun, Tapi Dr Noorhisham Beritahu Kes Covid-19 Di Malaysia Sangat Serius.

Kuala Lumpur: Situasi penularan Covid-19 yang dihadapi negara masih sangat serius berikutan kapasiti hospital, terutama unit rawatan rapi (ICU) bagi menampung kes Covid-19 pada tahap kritikal dan boleh terus meningkat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, hospital di seluruh negara juga kini berhadapan dengan peningkatan kes Covid-19 bergejala serius bagi kategori empat dan lima yang memerlukan bantuan oksigen serta bantuan alat pernafasan khususnya dalam kalangan golongan rentan seperti warga emas dan pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).

“Pesakit-pesakit ini memerlukan tempoh pemulihan yang lama untuk sembuh disebabkan komplikasi yang serius daripada jangkitan Covid-19.

“Statistik yang diterima oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan menunjukkan purata tempoh rawatan bagi kategori empat adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan adalah selama 19 hari ke 26 hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, situasi ini tidak boleh diambil ringan, terutama sekiranya ada pihak yang menyebarkan interpretasi yang tidak benar mengenai situasi semasa ini.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia mengingatkan masyarakat untuk sentiasa mengamalkan duduk di rumah dan hanya keluar jika perlu; amalkan norma baharu dan patuhi prosedur operasi standard; jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau kontak kepada kes yang positif dan sekiranya dibenarkan untuk menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, patuhilah segala peraturan.

“Selain itu dapatkan maklumat berkenaan situasi terkini jangkitan Covid-19 serta daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin Covid-19.

“Semua individu perlu berperanan menjadi ejen perubahan di dalam komuniti dan mengambil tanggungjawab bersama agar kesinambungan kehidupan normal dapat dikecapi semula dengan kadar segera,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *