Kisah Masyarakat Viral

Ayah Sanggup Basah Kuyup Tunggang Motor Untuk Hantar Wang, Anak Balas Jasa Hadiahkan 7A SPM

ANISSA menunjukkan keputusan SPM sambil dipeluk ibunya, Nor Aini dan bapanya, Suhaimi Md Jas.
SEKITAR KEPUTUSAN SPM 2020

SUNGAI RAMBAI 10 Jun – Anak seorang pekerja pembersihan di kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Rambai di sini membanggakan ibu bapanya apabila meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Anissa Suhaimi, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah menjadi antara pelajar cemerlang di negeri ini apabila memperoleh 7A dan 2B bagi SPM 2020 yang diumumkan hari ini.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, menyedari dirinya bukan dalam kalangan keluarga senang menjadi antara penyuntik semangat untuknya membuktikan sesuatu, selain membalas budi ibu bapanya yang sentiasa memberikan pendidikan terbaik kepadanya selama ini.

Mengimbas pengalaman menghadapi peperiksaan ketika negara dilanda pandemik COVID-19, Anissa berkata pada awalnya dia berdepan sedikit tekanan apabila terpaksa melalui sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

CERIA…Anissa di samping ibu dan bapanya menunjukkan keputusan SPM 2020 yang diterima.

Katanya, ia berikutan kawasan rumahnya tidak mempunyai capaian internet yang baik membuatkannya sesi pembelajaran sering terganggu.

“Adakalanya, saya terpaksa pergi jauh keluar dari rumah di Kampung Kesang Laut untuk mendapatkan internet yang stabil bagi sesi pembelajaran.

“Namun, semua itu tetap saya harungi dengan sabar dan tabah terutama apabila terkenangkan pengorbanan ibu dan ayah saya selama ini.

“Antara yang paling saya ingat ialah kegigihan ayah meredah hujan lebat dan menunggang motosikal sejauh lebih 50 kilometer ke asrama sekolah saya di Batu Berendam untuk menghantar wang belanja.

“Alhamdulillah, berkat doa ibu ayah dan guru-guru, akhirnya saya berjaya menempuh cabaran yang sukar dan mendapat keputusan yang cukup baik ini,” katanya yang ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Ditanya kaedah pembelajaran dipraktikannya sepanjang menghadapi peperiksaan SPM pada Februari dan Mac lalu, dia yang mesra dengan panggilan Anis berkata, antara rahsia kejayaannya adalah dengan tidak ‘memegang’ telefon bimbit sepanjang berada di asrama.

Dengan cara itu, jelasnya, ia dapat mengelakkan daripada fokusnya terganggu selain ia menjadi motivasi buat dia dan rakan-rakan mengulang kaji pelajaran bersama-sama.

“Selain itu, menjelang peperiksaan juga, saya banyak melakukan solat hajat, bacaan Yasin dan juga cuba menenangkan diri setiap kali sebelum masuk dewan peperiksaan,” katanya yang juga johan Pertandingan E-Hafazan al-Quran Menengah Perempuan Peringkat Negeri Melaka.

Jelas Anis, dia kini bercadang untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dalam bidang komunikasi dan pengajian media dan sudah membuat permohonan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sementara itu, ibunya, Nor Aini Meslan, 54, mengakui berbangga dengan pencapaian anaknya itu walaupun tahu kesukaran dan cabaran yang sering dihadapi terutama membabitkan capaian internet ketika sesi PdPR.

Suri rumah itu berkata, sebagai ibu, sedikit sebanyak timbul rasa sedih dan kasihan terhadap anaknya kerana tidak mampu menyediakan kemudahan pembelajaran yang baik, namun dia bersyukur kerana Anis tidak pernah merungut mengenai kesusahan mereka.

“Akses internet di rumah ini memang sangat teruk, Anissa terpaksalah duduk di belakang rumah mencari liputan dan tidak akan berganjak sepanjang proses pembelajaran.

“Kalau satu jam kelas dalam talian, satu jam itulah dia di situ, tidak bergerak. Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran, namun Alhamdulillah dia masih dapat buat yang terbaik dan membanggakan kami,” ujarnya.

sumber : melakahariini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *